KHAZANAH FATHANIYAH ditubuhkan secara rasminya oleh
Syeikh Wan Mohd Shaghir Abdullah pada tahun 1995. Tujuan penubuhannya
adalah untuk menerbit dan menyebarkan semula kitab-kitab ulama’ Melayu
silam bagi mengekalkan pemeliharaan khazanah-khazanah tersebut. Selain
itu, KHAZANAH FATHANIYAH juga berperanan menerbit dan mengedarkan
karya-karya yang dikarang mahupun ditransliterasi oleh beliau sendiri,
yang banyak berkisar mengenai pemikiran-pemikiran klasik, tokoh-tokoh
ulama silam serta karya-karya mereka.
Sejarah penubuhannya telah bermula sejak
tahun 1970 lagi dengan matlamat yang sama. Hasil cetusan pemikiran dari
pengasasnya yang juga cucu kepada ulama terkenal, Syeikh Ahmad
al-Fathani tersebut, KHAZANAH FATHANIYAH telah berjaya menerbitkan
transliterasi karya-karya Ulama Asia Tenggara kepada versi buku dalam
tulisan Rumi/Latin dengan tanpa mengubah perkataan yang asal bagi
mengekalkan keasliannya. Ini adalah satu-satunya cita-cita yang amat
besar sebagai kewarisan terhadap peninggalan karya-karya ulama terdahulu
bagi mengembangkan dakwah Islam di seluruh Alam Melayu atau Nusantara,
dalam menyaingi perkembangan dunia masa kini yang amat kuat cabarannya
terhadap umat Islam di alaf ini.
Hampir keseluruhan karya-karya Ulama Silam
Dunia Melayu menjadi koleksi KHAZANAH FATHANIYAH yang berupa bahan-bahan
asli terdiri dari manuskrip kitab, surat, gambar, catatan dan lain-lain
dari pelbagai bidang ilmu seperti Ilmu Fiqh , ‘Aqidah, Ilmu Hadith,
Ilmu Tasawuf dan Tariqat ,Terjemahan al-Qur’an, Ilmu Tajwid, Ilmu Nahwu
dan Saraf, Ilmu Balaghah, Ilmu Thib,Perubatan, Ilmu Hisab dan Falak,
Ilmu Bahasa dan Sejarah, dan lain-lain lagi.